RKIB : 21/06/2010
'Tiada kompromi bagi kami'
PETALING JAYA 20 Jun - Dutch Lady Milk Industries Bhd., antara syarikat paling lama bertapak di Malaysia, akan terus mengukuhkan kedudukannya di dalam pasaran tempatan. Kejayaan syarikat yang dikenali dengan jenama Dutch Lady dengan penguasaan 20 peratus pasaran, antaranya adalah hasil ketegasannya memastikan setiap produk keluarannya adalah halal.Pengarah Urusannya, Bas Van Den Berg yang menjawat jawatan itu sejak 1 Januari lalu, berkata, pihaknya tidak berkompromi memastikan produknya benar-benar halal, malah Jawatankuasa Halal Dalaman turut ditubuhkan dalam syarikat itu. Katanya, setiap bahan mentah, mesin serta lain-lain perlu mengikut piawaian yang ditetapkan oleh jawatankuasa tersebut.
Tambahnya, beliau sendiri yang baru tiba di negara ini, pernah sekali ditegur kerana membawa masuk hadiah berupa sebotol wain yang belum dibuka ke pekarangan kilang Dutch Lady di Petaling Jaya, Selangor. "Sejak peristiwa itu saya tidak berkompromi tentang isu halal kerana apa sahaja yang berkaitan dengannya adalah sensitif kepada para pengguna di negara ini," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, setiap mesin dan peralatan pengeluaran yang digunakan turut disamak secara berjadual oleh pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengekalkan keyakinan pengguna di negara ini walaupun Dutch Lady hanya mengeluarkan produk susu yang pastinya dijamin halal.
Menurut Van Den Berg, meskipun pihak syarikat tidak mengisytiharkan di dalam media cetak atau media elektronik seperti mana produk pengguna lain, orang ramai tidak perlu meragui tentang sejauh mana halal produknya.
Mengulas lanjut tentang hasrat syarikat untuk memantapkan lagi perniagaannya, beliau berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perancangan dan akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik pengguna. Buat permulaan, Dutch Lady akan mengadakan kajian terhadap 4,500 kanak-kanak berumur antara enam hingga 12 tahun bagi mengkaji tabiat pemakanan, penggunaan susu serta diet dalam usaha untuk benar-benar memahami keperluan pemakanan mereka.
"Kajian ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia dan Dutch Lady akan melakukan tinjauan terhadap kanak-kanak di bandar dan di luar bandar," jelas beliau. Daripada hasil kajian itu, Van Den Berg berkata Dutch Lady akan mengkaji keperluan dan pembangunan produk supaya kadar pengambilan produk tenusu keluarannya meningkat. Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya mendapati kadar pengambilan susu di negara ini adalah terlalu rendah dengan purata setiap orang mengambil sebanyak 25 liter setahun atau segelas susu seminggu.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencadangkan setiap orang perlu meminum sekurang-kurangnya dua gelas susu sehari. Beliau juga berkata, pihaknya juga berdepan dengan masalah bekalan bahan mentah terutamanya susu kerana jumlah pengeluarannya belum mencukupi. Katanya, jumlah pengeluaran susu adalah sebanyak 20,000 liter hingga 25,000 liter setahun dan Dutch Lady telah membeli 10,000 liter daripada 718 ladang ternakan tempatan dengan 28,000 ekor lembu di seluruh negara.
Beliau berkata, Dutch Lady terpaksa mengimport susu untuk menampung keperluan keseluruhan di negara ini. Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi membantu pengusaha ladang ternakan untuk mengeluar susu-susu yang berkualiti mengikut syarat yang ditetapkan oleh Dutch Lady. "Kami membeli susu dari pengusaha pada harga RM2.20 seliter berbanding RM1.50 pada harga pasaran tetapi mereka perlu menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan agar susu tersebut berkualiti," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm#ixzz29evQpHc7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment